Saturday, December 1, 2007

UNDANG-UNDANG PERMAINAN SEPAKTAKRAW BULATAN

1. GELANGGANG

1.1 Dibina dimana-mana kawasan lapang dan rata. berbentuk bulatan bergaris pusat 6m ( dinamakan Bulatan 6m ) dan hendaklah sekurang-kurangnya 3m jauh dari sebarang halangan.

1.2 Dalam Bulatan 6m ini dibina satu bulatan kecil bergarispusat 2m ( dinamakan Bulatan 2m ) dan hendaklah sama dengan pusat Bulatan 2m.

1.3 Semua garisan hendaklah mempunyai kelebaran tidak lebih dari 40mm.

1.4 Garisan Bulatan 6m hendaklah dibina DILUAR garispusatnya manakala garisan Bulatan 2m dibina DIDALAM garispusatnya.

2. BOLA.

2.1 Berbentuk bulat.

2.2 Beratnya hendaklah antara 170gm ke 180gm dan garis lilitnya diantara 0.42m ke 0.44m.


3. PEMAIN-PEMAIN.

3.1 Pemainan ini dimainkan oleh 6 orang pemain dengan 2 orang pemain gantian.

3.2 Gantian pemain hanya boleh dibuat sebelum permainan bagi sesuatu pusingan bermula.


4. PAKAIAN PEMAIN.

4.1 Semua pemain hendaklah memakai Jersi / T-Shirt, berseluar pendek dan berkasut getah.

4.2 Setiap Jersi / T-Shirt hendaklah bernombor dari 1 hingga 8 ( No. 7 dan 8 dikhaskan untuk pemain gentian ). Tinggi dan lebar nombor tersebut hendaklah diantara 10cm ke 15cm. Nombor-nombor ini hendaklah dilekatkan dihadapan dan belakang Jersi / T-Shirt.


5. KEDUDUKAN PEMAIN.

5.1 Sebelum membuat lambungan untuk memulakan permainan bagi setiap Pusingan, semua pemain hendaklah berdiri didalam kawasan bulatan 6m mengarah kepusat bulatan 2m. Susunan pemain dari yang bernombor 1 hingga 6 hendaklah mengikut arah pusingan jam.

5.2 Kedudukan yang sama hendaklah dikekalkan semasa pemainnan sedang berjalan

5.3 Pemain gantian hendaklah mengambil tempat pemain yang diganti.


6. CARA BERMAIN

6.1 Semua anggota badan kecuali tangan atau lengan boleh digunakan semasa pemain menerima atau menghantar bola.

6.2 Permainan dimulakan dengan lambungan bola tinggi melebihi paras kepala oleh pemain No. 1 kepada pemain No. 3, No. 4 atau No. 5 dengan melalui dan melintasi kawasan bulatan 2m. Pemain yang menerima bola tersebut hendaklah menyepak kepada pemain lain kecuali pemain No. 1.

6.3 Setiap pemain hanya dibenarkan mengawal bola tidak melebihi Daripada 3 sentuhan berturut-turut dan pada sentuhan ketiga, bola tersebut hendaklah dihantar kepada pemain yang lain.

6.4 Pindahan atau hantaran bola daripada seorang pemain kepada pemain yang lain hendaklah melebihi paras kepala dengan melaui dan lelintasi bulatan 2m.

6.5 Permainan diberhentikan apabila berlaku perkara-perkara batal atau tempoh masa bagi sesuatu pusingan mencukupi.


7. PUSINGAN.

7.1 Setiap pasukan akan bermain dalam 3 pusingan dan satu lontaran/lambongan sahaja dibenarkan bagi setiap pusingan.


8. MASA.

8.1 Masa bermain untuk setiap pusingan ialah 10 minit.

8.2 Untuk menentukan masa bagi satu pusingan, wisel akan dibunyikan:-

8.2.1 Bunyi pertama menandakan permainan bermula.
8.2.2 Bunyi kedua menandakan permainan tamat.

8.3 Jika permainan diberhentikan disebabkan berlaku perkara-perkara batal, maka masa yang diperolehi akan direkodkan.

9. MATA.

9.1 Setiap satu sepakan atau sentuhan akan dikira 1 mata.

9.2 Mana-mana pasukan yang memperolehi mata paling tinggi hasil dari 3 pusingan akan dikira menang.

9.3 Jika mata kemenangan diperolehi sama, maka pasukan yang jumlah masa bermainnya lebih lama akan dikira sebagai pemenang.

9.4 Jika kaedah 9.3 masih sama, maka pasukan-pasukan berkenaan akan diberi peluang bermain masing-masing dengan 1 pusingan 5 minit.


10. PERKARA-PERKARA BATAL.

10.1 Tidak menyepak bola yang dilambong oleh pemain No. 1 sewaktu memulakan permainan.

10.2 Pindahan atau hantaran bola tidak melalui dan melintasi kawasan Bulatan 2m.

10.3 Menyepak atau menyntuh bola lebih dari 3 sentuhan berturut-turut.

10.4 Menerima bola yang baru dipindahkan.

10.5 Sebarang anggota badan menyentuh lantai diluar dari kawasan bulatan 6m atau didalam kawasan bulatan 2m.

10.6 Bola jatuh keatas lantai.

10.7 Mengepit atau mematikan bola.

10.8 Bola melurut di sebarang anggota badan.

10.9 Salah seorang pemain tidak menyepak atau menyentuh bola pada setiap 20 mata.



11. PEGAWAI-PEGAWAI.


11.1 Permainan akan dikendalikan oleh:-

11.1.1 Seorang Pengadil Rasmi yang duduk pada jarak 6m dari gelanggang. Tugasnya ialah memulakan atau memberhentikan permainan. Jam randik, wisel, mesin mengira dan boring-borang teknikal hendaklah sentiasa berada bersamanya.

11.1.2 Dua orang pengadil yang berdiri di luar gelanggang bertentangan (di sebelah kiri dan kanan) dengan Pengadil Rasmi. Bertugas mengawal semua perkara-perkara batal yang dilakukan oleh pemain dengan menggunakan wisel. Seorang pengadil mengawal 3 orang pemain sahaja.

11.1.3 Dua orang penghitung mata yang berdiri bertentangan dengan Pengadil Rasmi. Bertugas menghitung dan mencatat mata.

11.2 Semua keputusan yang dibuat oleh Pengadil Rasmi atau Pengadil adalah muktamad.

12. UNDIAN.

Sebelum permainan dimulakan, pasukan-pasukan yang mengambil bahagian akan mengundi untuk menentukan giliran masing-masing.

13. PEMAIN GANTIAN.

Mana-mana pemain boleh digantikan dengan pemain gantian pada bila-bila masa sahaja dalam mana-mana pusingan setelah tamat satu-satu pusingan.

14. TANGGUNGJAWAB.

Semua pemain-pemain yang mengambil bahagian adalah dengan kehendak sendiri. Penganjur tidak bertanggungjawab diatas sebarang kemalangan atau kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang kejohanan ini.


15. TAFSIRAN.

Semua perkara yang tidak tercatat didalam Undang-Undang ini atau sebarang pertelingkahan tentang tafsiran akan di putuskan oleh Penganjur dan keputusan ini adalah muktamat.

Tanpa merugikan mana-mana pasukan, Penganjur berhak membuat pindaan terhadap Kumpulan Pasukan dan Jadual Pertandingan.


UNDANG-UNDANG PERMAINAN SEPAKTAKRAW PANTAI

1. GELANGGANG

1.1 Luas gelanggang 13.4m x 6.1m bebas dari sebarang rintangan sehingga 8m tinggi dari permukaan lantai. Lantai hendaklah berpasir ( Pasir Pantai )

1.2 Lebar semua garisan gelanggang tidak melebihi 0.05m diukur kedalam dari penjuru ukuran gelanggang. tape atau tali boleh digunakan sebagai garisan sempadan gelanggang. Kawasan bebas permainan hendaklah di ukur 3m keluar dari garisan sempadan gelanggang.

1.3 Garisan tengah selebar 0.05m yang membahagi gelanggang kepada dua bahagian yang sama besar.


2. TIANG

2.1 Ketinggian tiang ialah 1.55m ( 1.45m untuk wanita ) di ukur dari permukaan gelanggang dan ianya hendaklah teguh dan kukuh untuk regangan jaring. Jejarinya tidak melebihi 0.05m.

2.2 Kedudukan tiang-tiang hendaklah didirikan 0.3m jaraknya dari garisan tepi dan sebaris dengan garisan tengah gelanggang.


3. JARING

3.1 Jaring hendaklah diperbuat dari nylon yang halus dan siratnya berukuran 0.06m - 0.08m.

3.2 Lebar jaring adalah 0.7m dan panjang jaring tidak kurang dari 6.10m.

3.3 Di kedua-dua hujung jaring di lekatkan pita 0.05m sebagai sempadan dari atas ke bawah dan kedudukan sebaris menegak dengan garisan tepi gelanggang.

3.4 Di bahagian atas dan bawah jaring hendaklah di lapik dengan pita 0.05 yang di perkuat dengan benang atau nylon. Pita berfungsi sebagai pengampu tali regangan diatas paras tiang.

3.5 Ketinggian jaring dibahagian tepi setelah diregang ialah 1.55m ( 1.45m untuk wanita ), manakala dibahagian tengah jaring 1.52m ( 1.42m untuk wanita ).


4. BOLA TAKRAW


4.1 Bola takraw hendaklah berbentuk bulat, ianya diperbuat dari satu lapis fiber sintetik.

4.2 Bola takraw mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:-

4.2.1 Mempunyai 12 lubang.

4.2.2 Mempunyai 20 pertemuan silang.

4.2.3 Ukuran garis lilitnya mestilah diantara 0.41m hingga 0.43m untuk pemain lelaki dan 0.42m hingga 0.44m untuk pemain wanita.

4.2.4 Berat bola sebelum dimainkan diantara 170gm hingga 180gm untuk pemain lelaki dan 150gm hingga 160gm untuk pemain wanita.

4.3 Bola takraw boleh mempunyai satu warna, pelbagai warna dan warna yang terang tetapi tidak warna yang boleh mengganggu prestasi pemain.

4.4 Bola takraw juga boleh diperbuat daripada getah sintetik atau pun bahan lembut tahan lama (durable material ) bagi membaluti permukaan bola dan ianya tidak akan boleh mencederakan pemain. Pengeluar bola takraw ini hendaklah mendapat kelulusan dari ISTAF sebelum dimainkan di mana - mana kejohanan antarabangsa.

4.5 Kejohanan antarabangsa yang mendapat restu ISTAF termasuk Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA hendaklah menggunakan bola takraw yang telah diluluskan oleh pihak ISTAF sahaja.


5. PEMAIN-PEMAIN

5.1 REGU

Setiap regu mempunyai 4 orang pemain dan 2 pemain simpanan.

5.2 PASUKAN

Setiap Pasukan mempunyai 2 Regu ( 8 pemain dan 4 pemain simpanan )

5.3 Pemain yang melakukan sepak mula akan membuat sepak mula digarisan belakang gelanggang. Mana-mana pemain diantara 4 orang itu boleh melakukan sepak mula.

5.3 Manakala 3 orang pemain hendaklah berada didalam gelanggang semasa sepak mula di lakukan.


6. PERALATAN / PAKAIAN PEMAIN

6.1 Pemain dibenarkan memakai pakaian selain daripada jeans, seluar panjang dan pakaian yang tidak keterlaluan. Pemain dilarang memakai pakaian yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga pemain pihak lawan.

6.2 Pemain dilarang memakai anting-anting, gelang, jam tangan dan lain-lain peralatan perhiasan diri semasa didalam permainan.

6.3 Untuk pemain wanita, pakaian mandi (swimming costume) dibenarkan tetapi mereka hendaklah memakai seluar pendek atau Bermuda sebagai pelindung.

6.4 Pemain di cadangkan memakai pakaian berikut:-

6.4.1 Jersi
6.4.2 T-Shirt
6.4.3 Singlet
6.4.4 Bermudas
6.4.5 T-Shirt tidak berkolar.
6.4.6 Seluar pendek
6.4.7 Seluar ketat
6.4.8 Pelapik Kaki

6.5 Pakaian yang di pakai adalah merupakan sebahagian dari anggota badan.

6.6 Ketua regu hendaklah memakai arm band atau tanda di lengan kiri.

6.7 Sebarang peralatan yang boleh membantu melajukan bola adalah dilarang sama sekali.


7. GANTIAN PEMAIN

REGU

7.1 Gantian pemain boleh dibenarkan pada bila-bila masa dengan permintaan Pengurus Pasukan / Jurulatih Rasmi kepada Pengadil semasa bola tidak didalam permainan.

7.2 Setiap regu dibenarkan membuat 2 kali pertukaran bagi setiap set

7.3 Pemain yang diperintah keluar gelanggang oleh Pengadil semasa permainan, boleh membuat gantian pemain asalkan gantian belum dilakukan.

7.4 Mana-mana Regu yang kurang dari 4 orang pemain, tidak dibenarkan meneruskan permainan dan di anggap kalah.

PASUKAN

7.5 Gantian pemain boleh dibenarkan pada bila-bila masa dengan permintaan Pengurus Pasukan / Jurulatih Rasmi kepada Pengadil semasa bola tidak didalam permainan.

7.6 Setiap regu dibenarkan membuat 2 kali pertukaran bagi setiap set

7.7 Pemain yang diperintah keluar gelanggang oleh Pengadil semasa permainan, boleh membuat gantian pemain asalkan gantian belum dilakukan.

7.8 Mana-mana Pasukan yang kurang dari 4 orang pemain, tidak dibenarkan meneruskan permainan dan di anggap kalah.


8. UNDIAN DAN WARM-UP

8.1 Sebelum permainan dimulakan, Pengadil akan membuat undian dan regu yang memenangi undian boleh memilih untuk Sepak Mula atau Petak Gelanggang. Regu yang kalah hendaklah menerima keputusan Pengadil.

8.2 Regu yang memenangi undian akan mendahului ‘warm-up’ selama 2 minit dan di ikuti oleh regu yang satu lagi. Hanya 6 orang sahaja yang di benar bergerak bebas didalam gelanggang dengan menggunakan bola rasmi.


9. KEDUDUKAN PEMAIN SEMASA SEPAK MULA

9.1 Apabila permainan hendak dimulakan, semua pemain mestilah berada dalam petak gelanggang masing-masing dalam keadaan bersedia.

9.2 Pemain yang akan membuat sepak mula, kedua-dua kakinya hendaklah berada diluar garisan belakang gelanggang.

9.3 Manakala 3 orang pemain lagi hendaklah berdiri diam didalam gelanggang.

9.4 Pemain regu lawan bebas berada dimana - mana kawasan didalam petak gelanggangnya.

10. PERMULAAN PERMAINAN DAN SEPAK MULA

10.1 Regu yang memilih sepak mula, memulakan permainan pusingan pertama.

10.2 Setelah Pengadil mengumumkan mata. Pemain yang melakukan sepak mula hendaklah melambongkan bola dan menyepaknya sendiri. Sepakkan boleh digunakan pelbagai cara dengan menggunakan kaki. Sekiranya pemain yang melakukan sepak mula melakukan sepakan sebelum Pengadil mengumum-kan mata, sepak mula hendaklah dilakukan semula dan amaran lisan akan diberi oleh Pengadil kepada pemain tersebut. Jika melakukan kesalahan yang sama maka ia dianggap batal. Pemain hendaklah melakukan sepak mula dimana-mana di belakang garisan belakang gelanggang.

10.3 Sebaik sahaja sepak mula dilakukan, semua pemain bebas bergerak di dalam gelanggang masing-masing.

10.4 Sepak mula diakui sah jika bola melepasi atas jaring, sama ada menyentuh jaring atau tidak, melalui antara dua pita sempadan dan jatuh didalam gelanggang pasukan lawan.


11. PERKARA-PERKARA BATAL

11.1 Pihak Sepak Mula

11.1.1 Tekong yang membuat sepak mula, memain-mainkan bola ( meng-hempas, mencampak dan lain-lain cara ) melepas Pengadil mengumumkan mata.

11.1.2 Pemain yang berada didalam mengangkat kaki atau memijak garisan tengah atau kaki memasuki kawasan gelanggang lawan atau sentuh jaring semasa Tekong melakukan sepak mula.

11.1.3 Tekong tidak menyepak bola yang dilambongnya.

11.1.4 Bola menyentuh pemain regunya terlebih dahulu sebelum melepasi ke gelanggang lawan.

11.1.5 Bola melintasi jaring tetapi jatuh di luar gelanggang.

11.1.6 Bola tidak melepasi gelanggang lawan.

11.1.7 Tekong memijak garisan belakang gelanggang sebelum melakukan sepak mula.

11.1.8 Tekong menggunakan tangan atau lain - lain bahagian tangan sama ada dengan sengaja atau tidak menyentuh lantai bagi tujuan membantu melakukan sepak mula.

11.1.9 Tekong menyepak bola sebelum Pengadil menngumumkan mata buat kali kedua.


11.2 Kedua-dua Pihak Semasa Permainan.

11.2.1 Memijak garisan tengah ( kecuali semasa follow-through selepas melakukan rejaman atau hadangan)

11.2.2 Mana - mana pemain menyentuh bola di kawasan gelanggang lawan.

11.2.3 Mana- mana bahagian anggota pemain memasuki kawasan gelanggang lawan sama ada diatas atau dibawah jaring kecuali semasa ‘follow- through’.

11.2.4 Memainkan bola melebihi 4 kali berturutan.

11.2.5 Bola menyentuh tangan.

11.2.6 Memberhentikan atau mengepit bola dibawah tangan / lengan antara kedua - dua paha / kaki atau badan.

11.2.7 Sebarang anggota atau peralatan pemain seperti kasut, jersi, pelilit kepala dan lain-lain menyentuh jaring, tiang, kerusi pengadil atau jatuh ke kawasan gelanggang lawan.

11.2.8 Bola terkena mana-mana objek.

11.2.9 Mana-mana pemain dengan sengaja melambat-lambatkan permainan.


12. TUKAR SEPAK

12.1 Tukar sepak berlaku apabila perkara-perkara batal dilakukan semasa sepak mula atau pun dalam permainan.


13. REHAT (TIME-OUT)

13.1 Satu minit rehat akan diberi kepada kedua-dua regu apabila mana-mana regu mendahului mata 11 dan satelah regu tukar petak. Cuma 6 orang sahaja dibenarkan berada di belakang garisan gelanggang.

13.2 6 orang yang berada di belakang garisan gelanggang terdiri dari 4 pemain dan 2 orang pegawai yang berpakaian kemas dan berlainan dari pemain.


14. KIRAAN MATA

14.1 Apabila perkara-perkara batal oleh pihak sepak mula atau penerima sepak mula, satu mata akan diberi kepada pihak lawan dan melakukan sepak mula seterusnya.


15. SISTEM KIRAAN MATA

15.1 Mata kemenangan maksima untuk setiap pusingan ialah 21 mata.

15.2 Pertukaran petak gelanggang akan dilakukan pada mana-mana regu mendahului mata 11.


16. TIE BREAK

16.1 Jikalau Pasukan seri, maka keputusan akan di perolehi melalui perlawanan tie break 15 mata. Pertukaran petak akan dilakukan apabila mana - mana regu memperolehi 8 mata.

16.2 Setiap pasukan akan memilih 4 pemain dan 2 pemain simpanan dari 12 pemain yang didaftar untuk bermain dalam pusingan tie break.

17. PERMAINAN TERGENDALA

17.1 Pengadil boleh memberhentikan permainan jika berlaku halangan, gangguan atau pemain tercedera dan memerlukan rawatan segera, tidak melebihi 5 minit untuk setiap regu.

17.2 Pemain yang tersedera dibenarkan berehat dan menerima rawatan sehingga 5 minit. Jika selepas 5 minit, pemain tidak berupaya bermain, gantian pemain mestilah dibuat. Jika regu ini telah membuat pertukaran pemain sebelum ini, maka regu awan akan dikira sebagai pemenang.

17.3 Jika berlaku halangan, gangguan dan lain-lain perkara cuma Pengadil Rasmi boleh menghentikan atau menangguh perlawanan tersebut satelah mendapat kebenaran dari Jawatankuasa Penganjur.

17.4 Semasa tempoh permainan diberhentikan, semua pemain tidak dibenarkan keluar dari gelanggang untuk minum atau mendapat tunjuk ajar.


18. TATATERTIB ( DISIPLIN)

18.1 Semua pemain mestilah mematuhi Undang - Undang Permainan. Pemain tidak di benarkan memakai sebarang perhiasan seperti gelang, cincin, rantai dan lain-lain.

18.2 Hanya Ketua Regu sahaja dibenarkan berjumpa Pengadil jika ada sebarang pertanyaan atau inginkan kepastian mengenai keputusan yang dibuat dan Pengadil hendaklah menerangkan terhadap keputusan yang telah dibuatnya.

18.3 Pengurus / Jurulatih Rasmi dan Pegawai di larang membantah keputusan Pengadil semasa pertandingan sedang berjalan. Ini boleh menjejaskan kelancaran pertandingan. Tindakan disiplin boleh di ambil terhadap pegawai berkenaan.


19. HUKUMAN

A. Mana-mana pemain yang ingkar dan melanggar Undang-Undang Permainan akan diambil tindakan disiplin keatasnya:-

19.1 Tidak menunjukan semangat kesukanan dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan etika sukan yang boleh menjejajaskan keseluruhan pertandingan.

19.2 Memaki atau mengeluarkan kata - kata kesat kepada pemain, pegawai atau penonton.

19.3 Melakukan perbuatan atau tindakan yang tidak sopan dengan niat mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat oleh Pengadil.

19.4 Dengan sengaja meninggalkan gelanggang tanpa kebenaran Pengadil.


19.5 Melakukan tingkah-laku tidak sopan.

19.6 Melanggar perintah dan undang-undang permainan.

Pengadil boleh memberi kad berikut:-

Kad Kuning - Amaran
Kad Merah - Perintah keluar gelanggang.

Kad Merah boleh dikeluarkan kerana kesalahan – kesalahan yang DISENGAJAKAN seperti:

- Masih berdegil dan berkelakuan buruk setelah diberi amaran oleh pengadil.

- Berkelakuan ganas ( seperti menyerang, menendang, meludah dan sebagainya kepada pemain, pegawai atau penonton ).

- Memaki, mencarut atau mengeluarkan kata-kata kesat

Nota:

Mana-mana pemain yang diberi Kad Merah hendaklah diarah keluar gelanggang dan tindakan tatatertib akan diambil terhadapnya. Pemain berkenaan tidak boleh bermain dalam perlawanan seterusnya sehingga keputusan Lembaga Tatatertib dibuat.



B. HUKUMAN KAD KUNING

Kesalahan - kesalahan yang perlu dihukum, pemain boleh diberi ‘kad kuning’ jika melakukan kesalahan berikut:-

i. Tidak menunjukan semangat kesukanan dan melakukan perkara- perkara yang bertentangan dengan etika sukan yang boleh menjejajaskan keseluruhan pertandingan.

ii. Memaki atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada pemain, pegawai atau penonton.

iii. Kekerapan melanggar Undang-Undang Permainan dan Peraturan pertandingan.

iv. Melambat – lambatkan permainan setelah diberi amaran lisan oleh Pengadil.

v. Masuk keluar gelanggang tanpa kebenaran Pengadil.

vi. Dengan sengaja meninggalkan gelanggang kerana bantah keputusan Pengadil.


C. HUKUMAN KAD MERAH

Kesalahan-kesalahan yang perlu dihukum, pemain boleh diberi ‘kad merah’ jika melakukan kesalahan berikut:-

i. Melakukan kesalahan yang lebih serius.

ii. Berkelakuan ganas dengan niat untuk mencederakan pihak lawan.

iii. Meludah kepada pihak lawan, pegawai dan penonton.

iv. Memaki dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak lawan, pegawai dan penonton.

v. Menerima Kad Kuning kedua dalam perlawanan yang sama.



D. Pemain yang malakukan kesalahan di dalam atau di luar gelanggang terhadap rakan, pihak lawan, pengadil, pembantu pengadil atau mana-mana orang kad kuning telah di beri kepadanya akan dikenakan tindakan berikut:-


i. Kesalahan : Kad Kuning Pertama

Hukuman :
Amaran Biasa

ii. Kesalahan : Kad Kuning Kedua diterima oleh pemain di perlawanan yang lain tetapi didalam kejohanan yang sama.

Hukuman :
Di gantung satu perlawanan

iii. Kesalahan : Kad Kuning Ketiga diterima setelah digantung satu perlawanan dikejohanan yang sama.

Hukuman :
(i) Di gantung 2 perlawanan.
(ii) Denda US $100 ( dibayar oleh Persatuan / Kelab yang terlibat ).

iv. Kesalahan : Kad Kuning Keempat diterima setelah digantung dua perlawanan di kejohanan yang sama.

Hukuman :
Digantung serta merta dari bermain perlawanan seterusnya sehingga lembaga disiplin membuat keputusan.




v. Kesalahan : Pemain menerima 2 Kad Kuning Dalam perlawanan yang sama.

Hukuman :
(i) Di gantung dua perlawanan.
(ii) Denda US $100 ( dibayar oleh Persatuan / Kelab yang terlibat )
(iii) Diberi Kad Merah diatas kesalahan Disiplin ketiga dalam mana - mana perlawanan di kejohanan yang sama.


E. Mana - mana pemain yang diperintah keluar gelanggang oleh Pengadil sama ada kesalahan didalam atau diluar gelanggang, terhadap pihak lawan, rakan sepasukan, Pengadil, Pembantu Pengadil, Pengadil Garisan atau mana- mana pegawai: Kad Merah akan diberi diatas tindakan disiplin berikut akan di ambil:-


i. Kesalahan : Menerima Kad Merah

Hukuman :
Di gantung serta-merta daripada bermain dalam mana-mana kejohanan atau perlawanan sehingga Lembaga Disiplin membuat keputusan.


20. KELAKUAN BURUK OLEH PEGAWAI-PEGAWAI PASUKAN

17.1 Tindakan perlu diambil terhadap Pegawai - Pegawai Pasukan yang berkelakuan buruk atau menimbulkan kekacauan semasa kejohanan di jalankan sama ada didalam atau diluar gelanggang.

17.2 Mana-mana pegawai yang berkelakuan buruk dan menganggu kelancaran pertandingan akan di iringi keluar oleh Pegawai Pertandingan dari gelanggang perlawanan. Pengadil akan memberhentikan pertandingan serta - merta sehingga Pegawai Pertandingan atau Lembaga Disiplin Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memberi isyarat meneruskan pertandingan.


21. UMUM

21.1 Jika berlaku pertelingkahan terhadap mana-mana perkara yang tidak termasuk didalam Undang-Undang Permainan ini, keputusan Pengadil Rasmi adalah muktamad.


PINDAAN DILULUSKAN


Undang-undang Permainan ini telah dipinda dan dipersetujui oleh Kongres ISTAF pada 2hb July 2007 bertempat di Bangkok, Thailand.